Perisai ghaib untuk rawatan dan kesihatan mental

Perisai ghaib untuk rawatan dan kesihatan mental

Masalah wujud di mana-mana dan dan yang menjadi kerisauan biasanya yang berpunca dari dalam diri seseorang. Masalah kesihatan fizikal telah dilihat dalam post lepas dan kali ini diterokai pula tentang masalah kesihatan mental, dan kedua-duanya saling mempengaruhi jika diteliti dan dirasai. Masalah kesihatan mental atau disebut juga sebagai penyakit mental adalah masalah umum pada hari ini. Dianggarkan di negara ini ramai pesakit mental senyap yang tidak didiagnosis.

Dianggarkan ramai juga yang tidak sedar bahawa dia sedang mengalami atau semakin menuju kepada masalah kesihatan mental. Masalah hanya dapat diselesaikan jika ianya disedari. Meditasi adalah amalan yang bagus untuk membangunkan keupayaan kesedaran dan rasa bukan sahaja untuk mengenalpasti masalah, malah untuk mengenalpasti solusinya.

Salah satu teknik ampuh untuk merawat kesihatan mental atau untuk menguatkannya lagi adalah dengan menguasai teknik perisai ghaib. Ianya bukan teknik mistik dan bukannya perisai magik kepada ancaman fizikal dari luar, tetapi ianya adalah perisai kepada diri atau alam dalaman seseorang.

Harus difahami bahawa ancaman atau serangan kepada mental seseorang sama ada secara sengaja atau tidak sengaja datangnya melalui deria-deria manusia biasanya pendengaran, penglihatan, sentuhan malah bau dan rasa juga dapat mengakibatkan serangan mental ini. Lebih teruk apabila maklumat-maklumat yang kompleks itu disimpan (stored) dalam memori seseorang. Serangan berterusan akan menyebabkan seseorang lebih lemah dengan bentuk serangan (maklumat) itu dan lebih teruk jika ia kekal dalam minda bawah sedar seseorang.

Sekarang lihat pula kepada teknik perisai ghaib. Keupayaan perisai ghaib dapat dibangunkan dengan cepat melalui amalan meditasi. Ianya harus ‘dirasai’ dan diamalkan dengan berterusan untuk mengasah keampuhannya. Terdapat pelbagai kegunaan perisai ghaib yang boleh diterokai seseorang termasuklah untuk rawatan dan kesihatan mental.

Jika seseorang menyelami alam dalamannya, dia dapat merasai atau ‘melihat’ bahawa serangan mental kepadanya datang seumpama serangan fizikal. Dia juga dapat merasai bagaimana serangan mental itu mempengaruhi prestasi tubuh badan dan fikirannya. Perisai ghaib dapat dibina serta merta dalam alam dalamannya untuk menghalang serangan itu daripada terkena dirinya. Bentuk dan warna perisai itu bergantung kepada kecenderungannya. Boleh jadi berupa pagar cahaya, cermin, dinding besi, cahaya berbentuk sfera atau apa sahaja.

Ia juga boleh dibentuk seperti peti kekangan (seal) yang dapat mengurung dan mengekang serangan atau punca serangan yang dilihatnya tadi dalam alam dalamannya. Bunyinya mungkin seperti sebuah kisah anime namun ini tidak lain adalah salah satu teknik manipulasi minda yang sangat ampuh. Penerokaan dan penguasaannya dapat menghasilkan individu yang cemerlang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *