Kebenaran itu mempunyai Corak

Kebenaran itu mempunyai Corak

Dalam setiap maklumat yang diterima, ia boleh jadi benar atau palsu. Maklumat yang benar itu mempunyai harganya. Tapi kebenaran maklumat itu perlu ditafsir. Seorang penyelidik contohnya mahu menggunakan satu kenyataan yang dibacanya daripada sebuah laporan untuk menghasilkan sebuah hasil penyelidikan yang bernilai, perlu pastikan bahawa kenyataan yang dibaca itu benar. Penyelidikan itu satu disiplin umum yang amat dijaga sumber dan kredibiliti maklumat yang diterima. Pada setiap sumber berkredibiliti juga ditapis oleh penyelidik yang teliti untuk dinilai sahih. Dapat dilihat dalam ratusan atau ribuan laporan penyelidikan yang ditapis itu, mungkin terdapat kepalsuan juga, tetapi menilai itu perlu amat spesifik. Contohnya yang palsu itu hanyalah sebuah parameter (angka) atau satu perkataan, dan bukan keseluruhan kenyataan atau laporan. Ketidaksahihan ini berlaku lebih banyak pada maklumat yang diterima secara lisan boleh jadi daripada perbualan sama ada yang dirancang atau tidak dirancang, media, diskusi atau sesebuah nasihat.

Yang memalsukan maklumat yang benar itu dalam kes dilakukan secara sedar, biasanya mahu memesongkan pandangan seseorang atau sekumpulan manusia. Sekarang berleluasa teknik jualan, politik dan pengaruh yang berniat nak memesongkan si pendengar dengan maklumat palsu untuk kepentingan dan keuntungan sendiri. Golongan di atas adalah contoh yang baik, tetapi golongan professional juga boleh jadi cenderung untuk memberi maklumat palsu, atau sesiapa sahaja.

Maklumat yang benar atau kebenaran itu mempunyai corak. Ia tidak boleh berdiri sendiri, ia mesti berkait dengan benda lain dan menyokong ‘benda’ itu. Dalam disiplin Fizik yang digunapakai oleh saintis dan jurutera, setiap teori itu jika berkait dengan teori lain, ia perlu menyokong teori itu sama ada secara matematik, fizik, kimia dan biologinya. Yang dilihat berkait namun tidak menyokong itu mesti mempunyai sebab, dan dengan sebab itu terhasilnya kenyataan atau teori baru yang sahih.

Orang yang menyukai kesahihan biasanya tidak cenderung untuk menyampaikan maklumat yang palsu. Orang yang cenderung untuk menyampaikan maklumat palsu pula tidak kisah jika maklumat yang diterima atau diuruskannya itu tidak benar asalkan dapat mencapai tujuannya. Orang yang tidak mencari kebenaran juga cenderung untuk tidak mengaitkan kepalsuan yang dipertahankan dengan sesuatu perkara yang lain tanpa sebab yang kukuh. Sekali lagi perkaitan adalah sesuatu yang penting dalam mencari kebenaran.

Kebenaran juga tidak mutlak pada seseorang, contohnya golongan professional, pakar, seseorang berkredibiliti atau lepasan Al-Azhar. Yang ada cumalah kebarangkalian kebenaran daripada apa yang disampaikan oleh golongan ini adalah amat tinggi daripada yang bukan ahlinya, dan kerana disiplinnya. Tapi ia bergantung kepada setiap individu juga.

Kebenaran itu jika dijejaki wujud secara alaminya. Ia tidak direka oleh manusia. Ia boleh dijejak dan kebenarannya pasti mempunyai corak iaitu ia berkait dan menyokong perkara yang berkait dengannya. Mencari kebenaran ibarat mencantumkan ribuan cebisan puzzle atau lebih banyak. Mana mungkin gambaran sebenar puzzle itu dapat diperolehi hanya dengan beberapa cebisan. Ia mungkin memakan masa beberapa tahun jika diambil kira dari seawal seseorang mendapat cebisan awal puzzle itu, kemudian sedang dia menyusun, dia fikir dia tahu atau dapat meneka gambaran puzzle itu, dan semakin dia menyusun semakin jelas gambaran puzzle yang dilihat yang boleh jadi sama atau lain dengan tekaannya tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *