Browsed by
Author: Hazu Lazuardi

Kekuatan karya dan visibility tunggak penulis

Kekuatan karya dan visibility tunggak penulis

Sebuah karya yang ditungkus-lumus dihasilkan dengan berkualiti adalah lebih baik daripada banyak karya tetapi kurang kekuatan atau kualiti. Menulis dan terus menulis itu seharusnya adalah tabiat penulis, jadi tidak pelik jika ada terjumpa tulisan tidak berkualitinya, seperti juga pelukis menghasilkan ‘sketch’ sebelum terhasilnya mahakaryanya. Tapi untuk menghasilkan mahakarya berkualiti itu penulis perlu perbaiki sehingga beberapa kali tulisannya. Penulis ‘average’ tidak meluangkan masa berfikir san merancang dengan lebih teliti elemen-elemen seperti gaya bahasa, perkembangan plot, plot twist, keistimewaan cerita dan bagaimana cerita ini akan sampai kepada minda pembaca. Berfikir dan merancang itu mungkin memakan masa pada mulanya tetapi alah biasa tegal biasa, lama-lama akan menjadi cekap dan pantas.

Visibility atau keterlihatan itu adalah seramai mana orang yang dapat melihat karya itu. Setelah dapat lihat barulah orang dapat membaca dan menilai karya itu. Dengan adanya pembaca barulah penulis dapat hidup. Penulis perlukan visibility seramai mungkin. Caranya adalah dengan promosi. ‘Promosi’ itu perkataannya mudah tetapi untuk menguasai teknik-teknik promosi bagi penulis ini mungkin penulis perlu khatam beberapa buah buku dahulu dalam tajuk ‘promosi untuk penulis’ ini.

Dalam zaman media sosial sekarang ini nak promosikan karya itu ‘tak susah’. Yang lebih mencabar itu bagaimana nak jadikan sesebuah karya itu dilihat kehadapan berbanding karya penulis lain. Salah satu caranya mula membina list follower atau list pembaca. Sebelum itu pula penulis perlu kenal pasti apa makanan pembaca sasarannya? Walaupun pemasaran dan jualan itu sebahagian besarnya adalah urusan penerbit, tetapi penerbit juga lebih suka mencari penulis yang pandai promosikan diri sendiri dan mempunyai sejumlah follower yang ramai.

Penjenamaan & Identiti

Penjenamaan & Identiti

Penjenamaan adalah asas yang kukuh dalam sesuatu perniagaan mahupun dalam kareer dan kehidupan. Ia adalah sesuatu yang direka sama ada untuk pelanggan, orang ramai, teman sekeliling atau rakan sekerja menggambarkan identiti seseorang, sesebuah organisasi, perniagaan atau produk. Dalam penjenamaan, mereka dan menetapkan identiti sesuatu jenama itu secara teliti itu amat membantu untuk menguatkan jenama itu. Identiti sesuatu produk itu boleh jadi kukuh, reka bentuk cantik, amat berkesan, murah atau boleh jadi juga ‘premium’. Identiti seseorang yang ditetapkan dalam kareernya pula boleh jadi peramah, tegas, teliti, pantas, efisyen, mahir, hipster, ekstrem dll. Inilah identiti @ penjenamaan yang direka sebagai imej kepada sasaran tertentu.

Dalam menaikkan jenama ini, ada pula identiti yang terpendam, disembunyikan atau harus dikorbankan contohnya jika produk itu murah, keberkesanannya amat rendah. Contoh lain, jika seseorang itu sangat peramah pula, sebenarnya kemahirannya boleh jadi rendah. Ini sebenarnya hukum alami. Jika sesuatu tenaga itu difokuskan kepada sesuatu perkara, tenaga yang pergi kepada perkara lain pula akan jadi lebih lemah. Seseorang yang multi-tasking pula contohnya biasanya tidak dapat menandingi prestasi orang yang begitu fokus kepada sesuatu perkara, contohnya kemahiran menulis novel fiksyen. Dalam perniagaan juga, fokus itu dapat menguatkan sesuatu penjenamaan. Dengan memfokuskan kepada sesuatu kekuatan juga, jika dikekalkan fokusnya dari semasa ke semasa sehingga bertahun-tahun, jenama itu akan menjadi sangat kuat dan kukuh.

Membina jenama yang kuat itu memerlukan perancangan, fokus, usaha, dan usaha keras. Tengok sahaja jenama-jenama yang kuat dan nama-nama individu yang terkenal dengan sesuatu identiti yang bermanfaat, mereka bekerja kuat terus menerus untuk membina jenama itu dan mungkin menghadapi pelbagai cabaran sebelum dapat menaikkan jenama itu.

Kebenaran itu mempunyai Corak

Kebenaran itu mempunyai Corak

Dalam setiap maklumat yang diterima, ia boleh jadi benar atau palsu. Maklumat yang benar itu mempunyai harganya. Tapi kebenaran maklumat itu perlu ditafsir. Seorang penyelidik contohnya mahu menggunakan satu kenyataan yang dibacanya daripada sebuah laporan untuk menghasilkan sebuah hasil penyelidikan yang bernilai, perlu pastikan bahawa kenyataan yang dibaca itu benar. Penyelidikan itu satu disiplin umum yang amat dijaga sumber dan kredibiliti maklumat yang diterima. Pada setiap sumber berkredibiliti juga ditapis oleh penyelidik yang teliti untuk dinilai sahih. Dapat dilihat dalam ratusan atau ribuan laporan penyelidikan yang ditapis itu, mungkin terdapat kepalsuan juga, tetapi menilai itu perlu amat spesifik. Contohnya yang palsu itu hanyalah sebuah parameter (angka) atau satu perkataan, dan bukan keseluruhan kenyataan atau laporan. Ketidaksahihan ini berlaku lebih banyak pada maklumat yang diterima secara lisan boleh jadi daripada perbualan sama ada yang dirancang atau tidak dirancang, media, diskusi atau sesebuah nasihat.

Yang memalsukan maklumat yang benar itu dalam kes dilakukan secara sedar, biasanya mahu memesongkan pandangan seseorang atau sekumpulan manusia. Sekarang berleluasa teknik jualan, politik dan pengaruh yang berniat nak memesongkan si pendengar dengan maklumat palsu untuk kepentingan dan keuntungan sendiri. Golongan di atas adalah contoh yang baik, tetapi golongan professional juga boleh jadi cenderung untuk memberi maklumat palsu, atau sesiapa sahaja.

Maklumat yang benar atau kebenaran itu mempunyai corak. Ia tidak boleh berdiri sendiri, ia mesti berkait dengan benda lain dan menyokong ‘benda’ itu. Dalam disiplin Fizik yang digunapakai oleh saintis dan jurutera, setiap teori itu jika berkait dengan teori lain, ia perlu menyokong teori itu sama ada secara matematik, fizik, kimia dan biologinya. Yang dilihat berkait namun tidak menyokong itu mesti mempunyai sebab, dan dengan sebab itu terhasilnya kenyataan atau teori baru yang sahih.

Orang yang menyukai kesahihan biasanya tidak cenderung untuk menyampaikan maklumat yang palsu. Orang yang cenderung untuk menyampaikan maklumat palsu pula tidak kisah jika maklumat yang diterima atau diuruskannya itu tidak benar asalkan dapat mencapai tujuannya. Orang yang tidak mencari kebenaran juga cenderung untuk tidak mengaitkan kepalsuan yang dipertahankan dengan sesuatu perkara yang lain tanpa sebab yang kukuh. Sekali lagi perkaitan adalah sesuatu yang penting dalam mencari kebenaran.

Kebenaran juga tidak mutlak pada seseorang, contohnya golongan professional, pakar, seseorang berkredibiliti atau lepasan Al-Azhar. Yang ada cumalah kebarangkalian kebenaran daripada apa yang disampaikan oleh golongan ini adalah amat tinggi daripada yang bukan ahlinya, dan kerana disiplinnya. Tapi ia bergantung kepada setiap individu juga.

Kebenaran itu jika dijejaki wujud secara alaminya. Ia tidak direka oleh manusia. Ia boleh dijejak dan kebenarannya pasti mempunyai corak iaitu ia berkait dan menyokong perkara yang berkait dengannya. Mencari kebenaran ibarat mencantumkan ribuan cebisan puzzle atau lebih banyak. Mana mungkin gambaran sebenar puzzle itu dapat diperolehi hanya dengan beberapa cebisan. Ia mungkin memakan masa beberapa tahun jika diambil kira dari seawal seseorang mendapat cebisan awal puzzle itu, kemudian sedang dia menyusun, dia fikir dia tahu atau dapat meneka gambaran puzzle itu, dan semakin dia menyusun semakin jelas gambaran puzzle yang dilihat yang boleh jadi sama atau lain dengan tekaannya tadi.

Bina peluang pendapatan sendiri

Bina peluang pendapatan sendiri

Zaman ekonomi susah, semakin hari semakin menghimpit. Yang paling beruntung adalah orang yang mampu membina peluang pendapatan sendiri. Ianya boleh dilakukan dengan pelbagai cara sama ada berniaga, bekerja makan gaji atau menawarkan apa-apa servis. Ketiga-tiganya boleh jadi tergolong dalam topiknya tersendiri.

Nak bina sesuatu yang bernilai akan memakan masa. Contohnya perniagaan yang menguntungkan. Fakta pertama, ramai peniaga yang bungkus sebelum perniagaan mendatangkan keuntungan yang berterusan. Fakta kedua, ramai yang lebih pandai bercakap atau mengajar mencipta perniagaan daripada membina perniagaan sendiri. Peniaga yang berjaya tahu setiap wang yang dibelanjakan akan mendatangkan pulangan.  Pelabur yang berjaya juga hanya melabur di mana kebarangkalian untuk untung adalah tinggi.

Bagi pekerja yang berjaya mendapat kerja idaman, mereka tahu kebolehpasaran kemahiran yang mereka miliki. Mereka membina kemahiran dengan tahu hala tuju mereka. Mereka juga mempunyai backup kepada rancangan mereka.

Dalam kesemua kategori di atas dapat dirumuskan mereka yang berjaya telah:

  1. Merancang hala tuju.
  2. Membuat kajian tentang prospek (peluang) untuk berjaya.
  3. Bekerja KERAS di atas rancangan yang telah dikaji.
  4. Mempunyai data yang mencukupi dan bernilai sebagai asetnya (database).
  5. Tahu lubuk pasarannya.
  6. Mempunyai hubungan dengan individu yang sesuai.
  7. Mengumpul aset yang bernilai dari semasa ke semasa.
  8. Menjaga asetnya dengan sebaik mungkin.
  9. Mempunyai rancangan kecemasan jika kesemuanya juga tidak berjaya.

Akhir sekali walau apa pun berlaku, orang yang berjaya mempunyai hati yang kental. Mereka tidur untuk bangun mencapai impiannya. Mereka berehat untuk meneruskan rancangannya. Jika perlu mereka berhenti untuk kembali ke landansannya.

Yang bernilai berbaloi dibayar

Yang bernilai berbaloi dibayar

Jika masa itu bernilai, berbaloilah untuk dibayar jika yang diambil dari seseorang itu masa. Jika servis itu bernilai, berbaloi juga untuk dibayar jika berkeinginan menggunakannya. Sesuatu yang diletak harga tidak sesuai dengan nilainya, lebih baik terus je tinggalkan.

Jika meminta sesuatu yang bernilai, berikan juga sesuatu yang bernilai kecuali tak diingininya. Jika diminta yang bernilai pula, terus sahaja beritahu harganya. Ada masa pula yang bernilai itu diberi percuma, tetapi bukan dengan terpaksa. Ada masanya pula sesuatu yang bernilai itu datang sendiri secara percuma walau tak diminta.

Itulah bagaimana aliran sesuatu yang bernilai secara alaminya.

Yang bernilai itu sama ada namanya material atau kejayaan pastinya diperolehi dengan usaha kuat dan pengorbanan yang boleh jadi masa atau wang ringgit. Sesuatu yang diperolehi dengan susah payah jika berterusan diberi begitu sahaja tanpa kawalan dikuhatiri tergolong dalam kategori ‘bocor’, lalu harus dikawal. Jika diberi, ianya hanya dapat diberi kepada yang layak sahaja.  Ilmu yang diperolehi dengan susah payah kebiasaannya dikawal pemberiannya oleh ahlinya. Jika diberi ia diberi secara sebahagian, bukan kerana kedekutnya si pemiliknya, kerana secara alami dan adatnya ia harus dikawal.