Adab-adab untuk menuntut dan menyampaikan ilmu

Adab-adab untuk menuntut dan menyampaikan ilmu

Adab-adab untuk menuntut dan menyampaikan ilmu adalah suatu struktur keilmuan yang kukuh yang wujud secara alaminya, namun perlu difahami oleh setiap ilmuan agar keilmuan yang bermanfaat itu dapat berkembang secara baik.

Secara alami di sini berlaku kerana sifat ilmu itu sendiri yang walaupun tidak dapat dihurai dengan kaedah saintifik seperti bahan-bahan fizikal, ia tetap mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat alami yang dengan praktis yang betul, ia dapat dimanfaatkan dengan lebih optimum.

Oleh kerana sifat ilmu ini, ia lebih ‘suka’ dengan struktur ilmu yang dapat memanfaatkannya secara optimum. Bagaimana? Menerusi zaman-zaman yang dilalui oleh manusia, ia dikenalpasti dan menjadi adab-adab yang harus ada dalam menuntut dan menyampaikan ilmu secara wajarnya.

Kenapa? Ilmuan itu usahanya adalah untuk mengembangkan ilmu bagi mensejahterakan lagi manusia dan alam, jadi jika dijaga adab ini ilmu itu dapat berkembang dengan lebih optimum.

Adab-adab dalam menuntut dan menyampaikan ilmu itu sesuai untuk diketahui oleh semua penuntut dan penyampai ilmu.

Mula dengan secara umumnya, apa yang perlu tahu oleh semua penuntut dan penyampai ilmu.

  • Setiap ilmu yang bermanfaat itu harus dihormati walau di mana jua ia diperolehi atau dijumpai, dan jika diperlekehkan, bersedialah untuk diperlekehkan kembali oleh alam semesta.
  • Ilmu itu adalah sesuatu yang bernilai. Sesuatu yang bernilai itu harus mempunyai maharnya dan bukan percuma.
  • Namun nilai sebenar sesuatu ilmu itu bukanlah pada maharnya.
  • Mahar itu menjadikan ilmu itu lebih dihormati.
  • Mahar ilmu tidak menjadikan ia setaraf dengan bahan dagangan.
  • Ilmu itu datang kepada penerima ilmu dengan tanggungjawab untuk memanfaatkannya yang berlaku secara alami.

Adab untuk penuntut ilmu:

  1. Mula menuntut ilmu dengan niat yang baik. Jaga niat itu dan hayatilah niat itu sepanjang proses menuntut ilmu.
  2. Penuntut perlu bersedia berusaha keras untuk mendapatkan sesuatu ilmu namun dengan cara yang betul.
  3. Semasa meminta ilmu dengan seseorang, mintalah dengan baik walau sudah dibayar maharnya.
  4. Kerana ilmu yang bermanfaat itu harus dihormati, rendahkan diri dan elakkan berkasar semasa proses menuntut ilmu supaya penuntut disukai ilmu.
  5. Jika si penyimpan ilmu tidak mahu menyampaikan ilmu walau apapun sebabnya, usah dipaksa tetapi negosiasilah syaratnya untuk diberikan ilmu itu.

Adab untuk pemberi ilmu.

  1. Si pemberi ilmu harus kenal pasti cara supaya ilmu itu dapat mengalir dan dikembangkan dengan secara optimum tetapi bukan dengan diberikan semua secara percuma atau senang.
  2. Ilmu yang diperolehi dengan secara susah, usah diberikan dengan secara percuma atau senang kerana 3 sebab. Yang pertama kerana ilmu itu mempunyai nilai. Yang kedua untuk melatih si penuntut ilmu supaya dapat megembangkan ilmu itu sendiri dan ketiga untuk penuntut tahu kesusahan untuk memperolehi ilmu itu sendiri.
  3. Ilmu yang datang secara senang lebih elok disampaikan secara senang juga.
  4. Ilmu itu harus diberikan kepada sesiapa yang layak sahaja. Jika si penuntut masih di peringkat A, tidak harus terus diberi peringkat C secara keseluruhan supaya si penuntut boleh sampai ke peringkat C dengan sendiri. Ini juga untuk melatih penuntut mengembangkan ilmu.
  5. Setiap orang yang rela berusaha dengan cara yang betul layak diberikan ilmu. Usah diskriminasikan penuntut yang layak kerana ilmu tidak dapat dikembangkan sebegitu.
  6. Lebih ramai orang yang menerima ilmu lebih bagus, namun cara penyampaian itu harus adil, cth. si penyampai tidak menumpukan kepada seorang dengan mengabaikan si penuntut lain yang layak menerima.
  7. Ilmu daripada seseorang ilmuan perlu mengalir dengan secara berkala namun berperingkat.
  8. Menjadikan ilmu alatan kuasa bukanlah jalan ilmuan. Jika seseorang menjadikannya alatan kuasa, perkembangan ilmunya akan terhenti di situ atau menjadi susah.

Lihat sahaja negara barat sekarang yang sedang mendahului dalam penguasaan ilmu. Walaupun mereka mementingkan kuasa, mereka tetap tidak menyimpan sesuatu ilmu seperti sains dan teknologi mahupun falsafah kepada mereka sahaja tetapi berkongsikan juga kepada semua secara global. Masyarakat gaya US contohnya menjadikan sharing sebagai budaya mereka. Institusi-institusi keilmuan di negara maju lebih banyak berkongsi sesuatu ilmu berbanding di negara lain. Mereka memahami sifat ilmu itu.

Yang terakhir, ilmu yang dinyatakan di atas tidak menyamai ilmu agama atau ilmu syar’i yang disampaikan Nabi SAW. Kerana apa? Ilmu agama yang Nabi SAW sampaikan datang secara percuma dengan perjuangan baginda kepada umatnya, dan wajib ada yang menyampaikannya kepada masyarakat walau tanpa diminta. Ilmu syar’i itu wajib diketahui oleh semua mukmin. Walaupun ia tidak harus dimaharkan, darjatnya adalah lebih tinggi daripada ilmu alami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *